سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
"Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Haram (Mekah) ke Masjid Aqsa (Palestin) yang Kami diberkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."
(Surah Isra' ; ayat 1)
Ketika Berada di Lapangan Terbang Kahera Mesir |
Tanggal 7 mac 2015, pada ketika itu aku telahpun berada di Kuala Lumpur. Singgah sebentar ke kolej kediaman Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk mengambil seorang sahabat yang sudi menghantarku. Lalu bertolaklah aku ke Kuala Lumpur International Airport (KLIA) pada waktu zohor kerana kami dianggarkan akan berkumpul pada waktu asar di sana. Di dalam perjalananku ke sana, perbualanku mula singkat dan pendek dek kerana agak takut dan sedih untuk meninggalkan tanah air ini. Setibanya di sana, agak berat kaki ini untuk keluar dari kereta dan berat juga hati nak mengeluarkan bagasi dari kereta tetapi berbekalkan kecekalan hati dan ketabahan jiwa untuk menyambung pelajaran di sana, aku gagahkan diri ini.
Setelah sekian lama aku tidak menjejakkan kaki di KLIA ni, aku mula keliru di mana balai berlepas dan di mana balai ketibaan. Rupa-rupanya, balai berlepas di tingkat atas. Sambil menunggu kaunter daftar masuk di buka, aku menuju ke surau KLIA untuk solat. Di sanalah aku berjumpa sahabat-sahabat sepermusafiran aku yang tiba lebih awal dariku. Kami berborak di antara kami dan setelah itu kami ke medan selara untuk menjamah sedikit juadah sementara menunggu. Solat sudah, makan pun sudah, maka ketika itu kakak dan adikku sudahpun berada di restoran KFC. Terusku menuju ke sana. Bermain dan bergurau anak buah sulongku yang asyik dengan kawasan permainan kanak-kanak di kawasan itu.
Bersama Sahabat Permusafiran |
Apabila kauter telah dibuka dan sebelum daftar masuk di kaunter, suasana ketika itu mula sayu bagiku kerana tiadanya ummi dan walid untuk menghantarku di KLIA. Hanya bertemankan abang ipar, 2 orang kakak, adik dan beberapa orang sahabat yang sudi menghantarku. Apapun terima kasih kerana sudi menghantarku di sana. Hari semakin gelap, salah seorang sahabat permusafiranku masih belum tiba. Kakakku terpaksa bergerak pulang kerana jarak di antara rumahnya dan KLIA yang agak jauh dan memakan masa hampir sejam lebih. Begitu juga sahabat dan adikku yang punya urusan di kampus masing-masing. Maka tinggallah aku keseorangan bersama sahabat permusafiranku.
Setelah tibanya sahabatku yang lambat itu, bagasiku di'wrap' dan terus ke kaunter daftar masuk. Bagasi dah masuk tapi orangnya belum lagi. Makan malamlah terlebih dahulu agar tidaklah keroncong perut sementara menunggu memasuki kapal terbang. Memasuki balai berlepas, diperiksanya pasport dan hand-carry bags beberapa kali semasa di dalam. Kemudian, untuk lebih memberkati permusafiran kami, kami solat. Dengan berbaki beberapa minit sebelum kapal terbang kami berlepas, bergegaslah kami mencari dan menuju ke terminal.
Masuk ke Balai Berlepas |
Perngembaraan aku bermula dengan menaiki pesawat Egypt Air yang singgah di dua negara iaitu Bangkok, Thailand dan Kaherah, Mesir.
- Bersambung -